CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, November 21, 2009

Diabetes

Senaman Boleh Jauhkan Diabetis Dari Anda

KUALA LUMPUR, 20 Nov -- Bagi K.S Maniam, 67, seorang penghidap diabetis (kencing manis) selama 15 tahun, senaman, walaupun hanya selama 15 minit setiap hari, sudah cukup membantu mengawal penyakit itu.

"Diabetis wujud dalam keluarga saya," menurut Maniam yang merupakan Penolong Setiausaha Agung Persatuan Diabetis Malaysia (PDM).

"Adik lelaki saya meninggal dunia ketika umurnya 34 tahun kerana komplikasi diabetis dan seorang lagi terpaksa dipotong kakinya pada usia 50 tahun kerana masalah yang sama.

"Bagi saya, diet yang tidak sihat serta kurangnya senaman telah memburukkan keadaan kesihatan mereka. Saya tidak mahu menerima nasib yang sama."

Apa yang disuarakan Maniam memang benar kerana pada umumnya masih ramai yang mempunyai sikap 'tidak kisah' terhadap penyakit ini serta tidak kurang juga mereka yang enggan mengubah cara pemakanan serta gaya hidup yang tidak sihat di zaman moden ini.

Lantaran itu, tanpa disedari semakin ramai rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan risiko menghidapi penyakit ini.

PENYAKIT ENDOKRIN

Diabetis Melitus ialah sejenis penyakit endokrin yang punca utamanya ialah kegagalan badan untuk menggunakan (utilisasi) kandungan gula dalam darah sehingga menyebabkan kandungan gula darah melonjak melepasi tahap normal (3.5-6.5).

Terdapat dua jenis Diabetes Melitus iaitu Jenis 1 yang juga dikenali sebagai diabetis juvenil (di mana badan gagal mengeluarkan hormon insulin yang diperlukan untuk menukarkan gula kepada tenaga) dan Jenis 2 (badan tidak mengeluarkan insulin secukupnya atau tidak dapat utilisasi insulin dengan sempurna).

Statistik PDM (berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morboditi Kebangsaan - NHMS) menunjukan sebanyak 98 peratus dari 1.2 juta rakyat Malaysia pada tahun 2006 yang menghidapi diabetis, ialah dalam kategori kedua.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Malaysia dijangka mempunyai 2.48 juta penghidap diabetis pada tahun 2030.

DIET TIDAK SIHAT, KURANG SENAMAN

Beberapa faktor risiko penyakit ini, seperti faktor genetik (keturunan), adalah di luar kawalan tetapi perkara lain seperti kurangnya senaman, pemakanan yang tidak sihat serta kegemukan yang berlebihan juga boleh menjadi penyebab.

Diabetis boleh memberi kesan terhadap sel-sel di dinding saluran darah dan menyebabkan boleh berlakunya masalah vaskular termasuk penyakit kardiak (jantung), sklerosis (penebalan) arteri, hipertensi (darah tinggi) dan juga kegagalan buah pinggang.

Antara kesan sekunder ialah masalah peredaran darah yang ketara jika diabetis di luar kawalan, jangkitan dan kudis kulit, gangrene (tisu mati), kerosakan retina (mata) yang boleh menyebabkan buta, kehilangan fungsi sensori serta juga mati pucuk.

Oleh itu berada dalam keadaan sentiasa cergas untuk kelancaran peredaran darah serta bekalan oksigen ialah kunci bagi hidup yang sihat.

Implikasi kepada kekurangan aktiviti sedemikian dicerminkan dalam dapatan NHMS 2006, akan kelaziman diabetis mengikut jenis pekerjaan di Malaysia yang mendedahkan bahawa pekerjaan yang kurang mencetuskan aktiviti boleh memburukkan keadaan penyakit ini.

Sebagai contoh sebanyak 15.9 peratus pegawai kanan dan pengurus menghidapi diabetis, penganggur 16 peratus, suri rumah 14.2 peratus, petugas teknikal 12.1 peratus, pengendali dan pemasang mesin 11.7 peratus dan profesional 10 peratus.

Dr Lingeshwaran Pillai, tuan punya 'Fitness Network' menerangkan bahawa senaman bertindak dalam dua cara dalam mengawal diabetis.

Menurut beliau, senaman boleh bertindak memberi stimulasi agar lebih banyak insulin di dalam badan di(rembeskan) keluarkan serta sensitisasi semula tisu otot dan lemak terhadap insulin yang dikeluarkan oleh organ pengeluar iaitu pankreas.

Kata Dr Pillai lagi, senaman aerobik (senaman gerak intensiti rendah) serta anaerobik (tenaga yang dikeluarkan bila oksigen dalam otot kurang semasa gerak intensiti tinggi) ialah penjana kuat yang boleh menolong mengimbangi metabolisme di dalam badan manusia.

Oleh itu senaman yang kerap dilakukan adalah penting sebagai langkah mengelak daripada menghidapi diabetis.

Kata beliau, kekurangan oksigen di dalam sistem otot juga menggalakkan pembentukan asid laktik.

"Bila ada banyak asid laktik, maka berlaku satu proses di mana tisu otot akan menegang dan sebab itulah pesakit diabetis selalunya kelihatan tegang, letih serta lesu," kata beliau.

CARA BIJAK SENAMAN

Bagi Dr Pillai, cara senaman yang bijak adalah penting bagi gaya hidup sihat seorang pesakit diabetis.

"Semuanya mengenai senaman dengan cara yang bijak", kata beliau, sambil menambah objektif senaman ialah untuk membakar kalori yang berlebihan sama ada melakukanya di pusat kecergasan atau aktiviti luar rumah.

Sementara itu, Setiausaha Agung PDM Datuk Rahimah Ahmad berkata jenis senaman yang dilakukan mestilah sesuai dengan umur mereka yang menghidapi diabetis.

Rahimah ditemui semasa kempen 'Hidup Sihat Bersama Diabetis' yang dianjurkan bagi menggalakkan pengawalan diabetis secara efektif.

Selain memantau tahap glukos di dalam darah, mengamalkan diet yang seimbang serta sihat dan senaman yang secukupnya amat perlu bagi mengelakkan pesakit menerima komplikasi daripada diabetis.

"Apa-apa (senaman) pun boleh dijalankan, asalkan sekurang-kurangnya dilakukan tiga kali seminggu. Kalau umur (pesakit) sudah lanjut, mereka boleh bersenam secara melakukan gerak jalan secara pantas. Menaiki tangga juga merupakan aktiviti yang sesuai. Joging, berenang dan senaman yang lain turut disyorkan.

"Walaupun saya menghidapi diabetis sejak 20 tahun yang lampau, saya boleh mengawal penyakit itu, hidup lebih lama dan menghidari komplikasi dengan membuat perubahan pada gaya hidup," tambah beliau.

* Berita Bernama*

1 comments:

Unknown said...

senaman aerobik memang baik untuk kesihatan